12 APRIL: Kementerian Kesihatan mengesahkan 1,317 kes baharu COVID-19 dengan empat lagi kematian dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 362,173.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes sembuh hari ini adalah 1,052 kes menjadikan jumlah kumulatifnya 345,005 kes atau 95.3 peratus.
Beliau berkata jumlah kes aktif ialah 15,835 kes termasuk 188 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 84 masih memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada 1,317 kes baharu positif COVID-19 hari ini, 12 adalah membabitkan kes import, manakala selebihnya jangkitan tempatan.
“Sarawak kembali mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 351 kes, diikuti Selangor dengan 303 kes, Kuala Lumpur (116), Pulau Pinang (112), Sabah (109), Negeri Sembilan (63), Johor (61), Kelantan (58), Kedah (47), Pahang (32), Terengganu (22), Perak (21), Melaka (11), Putrajaya (sembilan) dan Perlis (dua).
“Manakala, Labuan ialah satu-satunya negeri yang tidak mencatatkan kes baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan empat lagi kes kematian hari ini jumlah kumulatif kes maut akibat COVID-19 di Malaysia sekarang menjadi 1,333 kes atau 0.37 peratus.