Berhenti berbalah sesama sendiri-Hishammuddin
12 APRIL : Ketua UMNO Bahagian Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menggesa semua pemimpin dan penyokong UMNO berhenti berbalah dan melaga-lagakan antara satu sama lain sehingga menimbulkan perpecahan dalam kalangan parti itu.
Hishammuddin yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional berkata tindakan itu penting bagi mengukuhkan parti selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata tindakan itu perlu berikutan timbul isu rakaman audio mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar di media sosial sejak kebelakangan ini.
Sambil memberi contoh situasi yang pernah dialaminya pada tiga tahun lalu, apabila didakwa cuba melompat parti, beliau bimbang bukan ahli UMNO yang akan terasa bahangnya tetapi rakyat sendiri akan memandang serong terhadap parti UMNO itu sendiri.
“UMNO 3.0 itu apa, tak habis habis saya minta semua pihak cukup cukuplah tak berhenti , kita banyak lagi agenda kita.
“Saya sudah nyatakan hari itu yang paling penting adalah kestabilan parti kita sendiri.
“Kalau selepas Perhimpunan Agung UMNO pun kita masih lagi memikirkan perkara perkara yang boleh memecahbelahkan menimbulkan keraguan terhadap solidariti parti,” katanya ditemui pada Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Paloh, Kluang Johor hari ini.
Mengenai isu rakaman audio berkenaan, Hishammuddin berkata, pihaknya, menyerahkan urusan berkenaan kepada pihak polis.
“Datuk Seri Zahid sudah pun menafikan dan telah mengatakan rakaman itu adalah palsu dan IGP sendiri telah buat kenyataan sekiranya satu laporan polis dibuat siasatan boleh dijalankan.
“Bagi saya yang penting adalah pendirian parti dan kalau kita tengok balik pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO baru baru ini jelas mengenai apa sebenarnya UMNO mahukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, MKT akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan isu utama termasuk pemilihan parti dan peletakan jawatan menteri UMNO dalam kerajaan.
“Bagi saya mudah, saya setia kepada parti sekiranya MKT kata perlu letak jawatan sebagai menteri, saya letak jawatan, tetapi yang akan menentukan sama ada saya letak jawatan ialah MKT bukan individu tertentu dalam parti,” katanya.