Hubungan PAS, UMNO, BERSATU Kedah kekal utuh
12 APRIL : Walaupun pelbagai isu yang timbul di peringkat nasional, hubungan PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di negeri Kedah kekal berada dalam keadaan yang sangat baik.
Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata pihaknya juga mengharapkan hubungan yang terjalin membabitkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) kekal utuh bukan sahaja dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malah berkekalan buat selama-lamanya.
Justeru, beliau menegaskan semua pihak sewajarnya meletakkan kepentingan ummah sebagai teras utama dalam jalinan kerjasama membabitkan ketiga-tiga parti itu.
“Tak ada masalah, kita semua jalinkan hubungan macam biasa dan sangat baik, saya menyeru supaya kita bersatu dan jangan bertelagah lagi, lama dah kita bertelagah.
“Umur saya 64 tahun, ini bermakna lebih daripada 64 tahun kita bertelagah, kita nampak satu kesesuaian pada masa ini untuk kita bersatu membentuk satu masyarakat yang bersama membina negara.
” Kita teruskanlah apa yang kita ada pada hari ini, InsyaAllah, Allah akan merestui perjuangan kita,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mendaya Komuniti dan Kempen Kesedaran 3R Peringkat DUN Tokai di Masjid As-Syakirin, Pendang, Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Hayati memberitahu bahawa soal strategi membabit pembahagian kerusi antara PAS, UMNO dan BERSATU di negeri itu hanya akan diputuskan di peringkat Pas Pusat.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan PAS tidak akan mendedahkan kepada umum berkaitan strategi yang akan digunakan parti itu dalam menghadapi PRU15 terutama melibatkan soal pembahagian kerusi.
Beliau berkata, ketika ini masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan terutama di peringkat parti dan rakan kompenen memandangkan tempoh tamat penggal kali ini adalah pada tahun 2023.