12 APRIL : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayutuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang terkesan kerana pandemik COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Titah baginda, ahli-ahli politik perlu menjadi contoh kepada rakyat dari sudut perpaduan dan kesatuan untuk memberikan khidmat mengurus tadbir negara dengan baik.
“Ahli politik seharusnya menjadi ‘role model’ kepada rakyat dari sudut penyatuan dan tadbir urus negara yang baik.
“Kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan yang lestari. Ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara,
“Justeru, biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradap dan berintegriti,” titah Baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan jaminan bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan mendukung prinsip keluruhan Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.
Titah Baginda lagi, tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini, sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak COVID-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.
Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan dan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Baginda juga meminta umat Islam mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna, menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan dan disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT.
Selain itu, Baginda bertitah agar semua penganjuran majlis sepanjang bulan Ramadan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah ditetapkan kerajaan.
“Petugas di barisan hadapan perlu terus tabah menjalani ibadah puasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
“Umat Islam di negara ini turut dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian ini dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi SOP.
“Seluruh umat Islam wajar mengambil keberkatan Ramadan bagi dan mendoakan semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati selain wabak COVID-19 dibendung dan diakhiri segera,” titah baginda.