12 APRIL : Pembentukan jajaran politik baharu akan mengembalikan semula igauan ngeri era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang tidak diinginkan rakyat di negara ini untuk berulang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Awang Hashim berkata, adalah penting untuk pelihara dan tautkan kembali persahabatan serta ukhuwah walau timbul perselisihan faham, tidak sealiran dan berbeza pemikiran.
Menurut beliau, itu kerana adalah suatu perkara lazim dalam sebuah keluarga yang besar dalam menempuhi masa depan.
“Adakah kita semua mahu mengadaikan nasib dan masa depan kita semua dengan memberikan ruang dan peluang kepada pembentukan jajaran politik baharu yang kita tidak yakin hujung pangkalnya dan tahu bagaimana pengakhirannya.
“Usahlah cuba dirobohkan dengan memberi ruang dan peluang kepada pembentukan jajaran politik baharu yang sememangnya tidak diinginkan dimana hampir pasti kita semua tahu akan akibat dan pengakhirannya,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, mengimbau kembali kejatuhan pemerintahan PH setahun lalu, Ahli Parlimen Pendang itu memaklumkan majoriti rakyat dalam negara melahirkan rasa lega dan syukur apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.
“Ia seolah-olah memberi nafas baru kepada rakyat dan negara untuk menempuhi fasa baharu dalam membina semula negara selepas melalui pengalaman pahit ketika era pemerintahan PH yang sememangnya menjadi igauan ngeri buat kita semua,” katanya.
Dalam masa yang sama, Awang berkata Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan PAS-UMNO ketika PH menerajui Kerajaan Persekutuan tetap terus diperkasa demi untuk masa depan rakyat dan negara terutamanya umat Islam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia memberitahu situasi politik dalam negara yang kelam kabut sebelum ini kembali tenang dan rakyat mula menaruh harapan yang tinggi terhadap PN dan MN serta semua gabungan parti politik yang ada bersamanya untuk kembali memacu negara ke arah yang lebih baik.
“Namun ombak tidak selalunya tenang berdasarkan situasi politik semasa. Anggaplah ia umpama ujian buat keluarga besar ini dan gabungan politik terbaik yang pernah hadir buat kita semua.
“Demi masa depan rakyat dan negara, perkasakan Muafakat Nasional (MN), pertahankan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH