12 APRIL: Kerajaan akan mengkaji pengambilan semula pekerja asing bagi memenuhi permintaan majikan untuk empat sektor di negara ini yang tidak diminati pekerja tempatan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, berkata kajian itu akan dilakukan kerajaan disebabkan terdapat permintaan daripada pihak majikan dalam sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan.
Katanya, ketika ini terdapat hampir 400,000 peluang pekerjaan masih tidak diisi dalam empat bidang itu.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang berbincang dengan semua pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya selepas menghadiri Program Kerjaya Urban Poor (UP) di Pusat Komuniti Setiawangsa di Kuala Lumpur, hari ini.
Saravanan berkata, beliau juga risau dengan keadaan pihak majikan yang sukar mendapatkan pekerja bagi sektor 3D, iaitu pekerjaan kotor serta sukar dan bahaya, walaupun peluang pekerjaan terbabit masih terbuka kepada rakyat tempatan.
Kerajaan kini, katanya, membekukan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.
Sementara, itu Saravanan berkata, 34,283 peluang pekerjaan ditawarkan 164 majikan sepanjang Program Kerjaya UP anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang dijalankan di 10 negeri sejak 1 April lalu.
“Tawaran ini termasuk Kerjaya UP diadakan hari ini yang menyaksikan 10,592 jawatan kosong disediakan 39 majikan.
“Selain daripada temu duga kerja, Program Kerjaya UP turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, klinik penghasilan resume dan temuduga, kaunter sesi pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), khidmat nasihat keusahawanan dan kewangan, latihan kerjaya serta pendaftaran e-Kasih,” katanya.