12 APRIL : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menyambut kedatangan Ramadan.
Muhyiddin berkata, seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia akan mula menjalani ibadat berpuasa bermula esok di mana Ramadan adalah bulan yang sangat dinantikan umat Islam.
“Bulan ini penuh keberkatan dan mendidik manusia menjadi insan bertakwa.
“Jika pada Ramadan tahun lalu kita banyak melakukan ibadat di rumah sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, pada tahun ini kita berasa bersyukur kerana kebanyakan masjid dan surau sudah mula dibuka untuk solat fardu, Jumaat, tarawih dan majlis ilmu lain,” katanya dalam ucapan khas sempena Ramadan malam ini.
Namun, beliau tetap berpesan supaya rakyat terus berdisiplin dengan mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal, tidak bersalaman dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Semoga Allah mempermudahkan dan menerima ibadat lain kita di sepanjang Ramadan ini. InsyaAllah,” katanya.