12 APRIL : Kes harian baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 1,317 kes direkodkan hari ini, berbanding 1,739 kes dilaporkan semalam.
Selain itu, kes kematian juga turut mencatatkan penurunan iaitu hanya empat kes berbanding semalam yang merekodkan lapan kes kematian
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 362,173 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 15, 835 kes.
Menurut beliau, Sarawak hari ini melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 351 kes dan daripada jumlah ini, sebanyak 256 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 303 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 116 kes. Sebanyak lapan kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI).
“Ini membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (6 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes).
“Terdapat empat kes kematian pada hari ini yang melibatkan dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing satu (1) kes di Sabah dan Selangor. Kesemua kes melibatkan warganegara,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan kes harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu terdapat 10 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan tiga kluster melibatkan komuniti.
Tambah beliau, Kluster baharu yang terlibat adalah Kluster Leepang, Pahang; Klustsr Indera Mahkota Tiga , Pahang; Kluster Industri Balakong Lapan, Selangor; Kluster Jalan Perjiranan Empat, Johor dan Jalan Stadium Empat di Kelantan.
“Selain itu, lima lagi ialah Kluster Ara Murni, Terengganu; Kluster Persiaran Salahuddin, Putrajaya; Kluster Kabu, Kedah; Kluster Kampung Paya Pulai, Pahang dan Kluster Jalan Canning Estate Perak,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata sebanyak 1124 kluster telah tamat termasuk lapan kluster yang tamat pada hari ini.
Beliau berkata, kluster tersebut adalah Kluster Batu Tiga Lama, Kluster Jambatan Satu Bombalai, Kluster Bukit Bayas, Kluster Jalan Distripark B6, Kluster Jalan DPB Enam, Kluster Lorong Murni, Kluster Perusahaan Amari, dan Kluster Meranti Utama.
“Jumlah kluster aktif kini adalah 345 kluster manakala bagi jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 51 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Sungai Kluang Empat (33 kes), Kluster Sungai Kluang Satu (32 kes), dan Kluster Industri Balakong Lapan (30 kes), “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH