12 APRIL : Pertelingkahan parti parti Melayu memberi peluang keemasan kepada DAP untuk melebarkan pengaruhnya di Kelantan yang terkenal sebelum ini sebagai negeri majoriti Melayu.
Ketua Perhubungan ISMA Negeri Kelantan, Sharipudin Ab Kadir berkata, sudah pasti DAP akan meletakkan calon-calonnya daripada kalangan orang Melayu yang kini parti pembangkang itu sudah mempunyai 38 cawangan sah di negeri tersebut.
Menurut beliau, penubuhan cawangannya di kawasan majoriti Melayu ini membuktikan mereka tidak lagi takut dengan persepsi negatif yang dilempar musuh politik terhadap DAP.
“Pergolakan antara parti-parti Melayu agak kritikal juga di Kelantan walaupun dinafikan oleh beberapa orang pimpinan parti pusat. Hanya pimpinan pusat sahaja masih lena dengan apa yang berlaku di Kelantan. Orang Kelantan sahaja yang tahu apa yang sebenarnya berlaku di Kelantan.
“Sebanyak 38 cawangan DAP bukannya sedikit walaupun ahli berdaftar mungkin tidak melebihi puluhan ribu tetapi dengan pergolakan yang berlaku kerana berebut kerusi dan kuasa antara parti Melayu yang ada, tidak mustahil arus perubahan untuk mencuba calon baru daripada parti baru yang mula bertapak di negeri Kelantan akan berlaku, lebih-lebih jika DAP meletakkan calon Melayu.
“Rakyat juga sudah mula muak dengan sikap dan tingkah lalu pergolakan parti-parti Melayu. Budaya ‘cah keting ‘ (mensabotaj lawan dalam parti sendiri) memang perkara biasa dalam politik di Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Justeru itu Sharipudin tidak menolak kemungkinan rakyat Kelantan akan berubah selera mencuba calon baru daripada parti baru setelah melihat pergolakan yang berlaku antara calon daripada parti Melayu di negeri berkenaan.
Menurut beliau, DAP akan membawa arus baharu yang lebih lunak untuk memikat pengundi Melayu dan akan membuktikan mereka lebih sensitif untuk menjaga bangsa Melayu daripada parti-parti Melayu.
“Ini adalah kemahiran bangsa Cina ketika mereka mula-mula untuk mencari pengaruh.
“Mereka akan cuba untuk menonjolkan bahawa perjuangan mereka lebih Melayu dari parti parti Melayu dengan strategi yang lunak dan halus. Lebih lebih lagi kemampuan dengan bantuan material dan kebendaan, “ katanya.
Dengan strategi yang lunak dan halus, beliau menegaskan tidak mustahil rakyat Kelantan akan terpikat dengan DAP dan mengeksploitasi orang Melayu di Kelantan untuk memikat pengundi Melayu agar bersama DAP.
“Parti-parti Melayu setakat ini kekal dengan ego masing masing untuk tidak akan bersepakat. Mula dah kedengaran lelongan murah kononnya mereka akan perjuangkan bangsa Melayu dan agama. Hakikat sebenarnya itu hanya ‘ pelaris ‘ jualan,” katanya.