12 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tiba di Madinah semalam, bagi meneruskan lawatan kerjanya ke Arab Saudi atas jemputan Liga Dunia Islam (MWL).
Ketibaan beliau dan delegasi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz dari Riyadh disambut wakil Perhubungan Antarabangsa MWL, Mohammed bin Said Al-Majdouie.
Zulkifli dijangka mengadakan pertemuan dengan Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud atas jemputan istana.
Beliau juga dijangka menghadiri program ramah mesra bersama pelajar di Universiti Islam Madinah, sebelum berangkat ke Makkah.
Di Makkah pula, Zulkifli dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi, Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Issam bin Saad bin Saeed.
Lawatan Zulkifli yang bermula Jumaat lalu hingga 18 April ini, bertujuan memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam serta ibadah haji dan umrah seperti dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) hasil kunjungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Mac lalu.
Sebelum ini, Zulkifli mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung MWL, Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa bagi meneruskan kerjasama hal ehwal Islam dan pertukaran kepakaran dalam menangani isu ancaman ekstremisme serta fahaman keganasan.