13 APRIL: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa penagihan dadah boleh diwarisi menerusi genetik.
Menurut kenyataan agensi itu, hari ini, penggunaan perkataan itu adalah tidak tepat sama sekali, malah tidak pernah dikeluarkan pihak AADK, termasuk AADK Negeri Selangor dan AADK Pahang.
AADK mengulas mengenai laporan sebuah akhbar bertajuk ‘penagih diwarisi secara genetik dan ‘warisi ketagihan dadah’, pada 12 April lalu.
“Berdasarkan laporan itu, akhbar terbabit menggunakan perkataan penagihan dadah boleh ‘diwarisi menerusi genetik’ adalah tidak tepat sama sekali dan tidak pernah dikeluarkan AADK.
“Sebaliknya, AADK Selangor merujuk elemen persekitaran kehidupan tidak kondusif menjadi salah satu punca utama kepada risiko penagihan dadah.
“Manakala AADK Pahang hanya berkongsi data kajian dibuat Duke University berhubung keadaan itu dan tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku di negara ini,” kata AADK dalam satu kenyataan, hari ini.
Agensi itu berkata, perkongsian maklumat terbabit juga bukan merujuk kepada hasil kajian dilakukan AADK di negara ini.
Justeru, AADK berharap pihak berkenaan mengeluarkan ralat agar tidak menimbulkan kekeliruan orang ramai terhadap laporan berita itu.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini, melaporkan bahawa Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam sebagai berkata, berdasarkan kajian kecenderungan, penagihan dadah boleh dipindahkan melalui genetik.