13 APRIL: Bekalan vaksin COVID-19 di negara ini dijangka melebihi jumlah pendaftaran individu bermula Jun depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, dengan bekalan terbabit, proses pemberian vaksin akan selesai menjelang hujung tahun ini.
“Bekalan akan mula melebihi pendaftaran pada Jun ini. Pasti (pemberian vaksin) selesai sebelum akhir tahun.
“Ini bermakna, kadar vaksinasi akan meningkat dengan cepat,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memuat naik graf jadual penghantaran vaksin, jumlah pendaftaran dan sasaran vaksinasi.
Beliau berkata, jumlah penghantaran vaksin ketika ini masih rendah disebabkan tindakan negara maju membolot bekalan itu.
“Penghantaran terkini (vaksin) masih rendah. Ini disebabkan tindakan negara maju membolot bekalan yang turut dikecam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Semalam, Khairy mengecam tindakan negara maju yang membolot vaksin COVID-19 sehingga menyebabkan bekalan untuk negara kurang membangun terhad.
Katanya, situasi disifatkan zalim dan tidak adil dilakukan negara maju itu mengingatkannya kepada filem Titanic.
Amnesty International baru-baru ini pula dalam laporan tahunannya, mengecam negara kaya yang ‘hampir memonopoli’ bekalan vaksin COVID-19.
Malaysia mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada lima pengeluar, termasuk China dan Russia, bagi memberikan imunisasi itu kepada lebih 80 peratus penduduk di negara ini membabitkan anggaran kos RM2.05 bilion.