13 APRIL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, peningkatan kes COVID-19 adalah disebabkan faktor kekeliruan, rasa puas hati dan tidak konsisten dalam mengamalkan langkah kesihatan.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata jika perkara itu berterusan, keadaan berkenaan bermaksud pandemik terbabit masih jauh untuk tamat.
Walaupun 780 juta vaksin sudah diberikan secara global, katanya, langkah kesihatan, termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal masih harus menjadi amalan.
“Amalan ini perlu dikendalikan dalam beberapa bulan dengan langkah kesihatan awam.
“Kita (WHO) juga ingin melihat masyarakat dan ekonomi kembali dibuka, manakala perjalanan dan perdagangan kembali seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tedros berkata, bagaimanapun unit rawatan rapi (ICU) di kebanyakan negara semakin sesak berikutan peningkatan kes.
Dunia, tegasnya, perlu tetap optimis apabila mencatatkan penurunan kes dan kematian selama dua bulan pertama tahun ini yang menunjukkan virus itu boleh dihentikan.
Beliau berkata, ketika ini, dunia berada pada titik krisis dengan trajektori pandemik itu meningkat untuk minggu ke tujuh berturut-turut.
“Di beberapa negara, walaupun penularan berterusan, restoran dan kelab malam penuh, pasar terbuka dan sesak dengan hanya beberapa orang mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.