13 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (CUEPACS) menyeru kira-kira 1.6 juta penjawat sektor itu memberikan sumbangan wakaf tunai menerusi potongan gaji secara berkala dan sukarela sempena Bulan Wakaf Kebangsaan.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pembabitan penjawat awam dapat mengukuhkan peranan wakaf sebagai satu daripada elemen penting yang mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Langkah kerajaan meluluskan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 untuk melakukan potongan gaji wakaf tunai secara sukarela bagi pegawai awam yang berkhidmat di persekutuan dan negeri, adalah kemudahan perlu dimanfaatkan semua penjawat awam.
“Bayangkan sekiranya 1.6 juta penjawat awam menyumbang purata RM10 seorang setiap bulan untuk sumbangan dana wakaf, sejumlah RM192 juta setahun mampu dikumpulkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Adnan berkata, usaha lebih berkesan perlu dilakukan kerajaan, terutama Yayasan Wakaf Malaysia bagi menyakinkan dan menggalakkan pembabitan penjawat awam, terutama individu bukan beragama Islam.
“Kongres ini juga berharap Yayasan Wakaf Malaysia bersama majlis agama Islam negeri melaksanakan pelbagai usaha bagi mengukuhkan pembabitan rakyat, terutama masyarakat bukan Islam supaya sama-sama membangunkan dana wakaf.
“Persepsi rakyat berhubung dana wakaf hanya disalurkan kepada umat Islam sahaja perlu ditangkis melalui pendekatan lebih mesra kepada masyarakat bukan Islam,” katanya.
Selain itu, Adnan berkata, CUEPACS berharap semua ketua jabatan memainkan peranan aktif dalam menggalakkan pegawai dan kakitangannya memberi sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji.
Katanya, info secara jelas berhubung mengenai peranan dan kepentingan berwakaf perlu disampaikan agar penjawat awam lebih faham mengenai potongan gaji dilakukan mereka.
Tegasnya, salah faham mengenai wakaf hanya bagi manfaat umat Islam, harus diperbetulkan kerana konsep wakaf adalah untuk kesejahteraan umat manusia secara keseluruhan.