13 APRIL: Aktiviti ibadah di masjid dan surau sepanjang Ramadan harus dilakukan dalam suasana norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP), kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Beliau berkata, umat Islam seharusnya menggunakan kesempatan ketika beribadah itu untuk memohon pertolongan daripada Allah supaya keadaan di negara ini bertambah positif dan kembali normal.
“Marilah kita terus fokus untuk menghidupkan bulan ini dengan meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT, selain menjadikan sepanjang Ramadan sebagai medium penyatuan umat, terutama menerusi aktiviti pengimarahan di rumah Allah.
“Umat Islam disaran menumpukan usaha memperbanyakkan aktiviti ibadah sepanjang Ramadan ini.
“Kewajipan berpuasa ketika Ramadan secara hakikatnya bertujuan membentuk keperibadian mukmin bagi golongan bertakwa kepada Allah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Luqman berkata, Allah menawarkan pelbagai fadilat dan ganjaran berlipat ganda ketika Ramadan atas segala amal ibadah yang dilakukan hambaNya.
Katanya, justeru umat Islam digalakkan melakukan aktiviti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, qiyamullail dan berkaitan pada bulan mulia ini.