13 APRIL: PAS Selangor tidak terjejas langsung dengan penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, Razaly Hassan ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana beliau sudah tidak aktif sebagai ahli dan kemasukannya adalah bersifat peribadi.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata tindakan Razaly memilih memasuki parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga tidak memberi apa-apa kesan kerana jentera PAS di peringkat Parlimen Hulu Langat dan DUN Dusun Tua selama ini bergerak cergas serta aktif tanpa pengaruh atau penglibatan beliau.
“Kita (PAS Selangor) menerima maklumat akan kemasukan Razaly ke PKR menerusi media.
“Beliau adalah bekas ADUN PAS Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua 2013-2018 dan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat, selain jawatan terakhirnya adalah selaku Ketua PAS Cawangan Batu 10, Hulu Langat.
“Razaly tidak lagi aktif dalam parti dan kemasukkan beliau menyertai PKR adalah atas pilihannya sendiri, tanpa dikuti mana-mana ahli lain di Hulu Langat,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Katanya, fokus PAS Hulu Langat adalah ke arah menawan kembali Parlimen Hulu Langat dan DUN Dusun Tua daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU-15).
Semalam, Anwar mengumumkan penyertaan 15 individu ke dalam parti itu, termasuk Razaly Hassan.