PKPD empat lokaliti di Tawau, Sabah dilanjutkan
13 APRIL:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan empat lokaliti di Tawau Sabah, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan selama 14 hari lagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kawasan yang terlibat iaitu Kampung Ranggu Batu 10, Fasa 2 Taman Semarak, Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Simpang 3A.
“KKM mengesahkan terdapat baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan penularan jangkitan COVID-19 masih berlaku di keempat-empat lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kesemua lokaliti tersebut bermula 15 sehingga 28 April 2021,” katanya menerusi kenyataan perkembangan laporan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Setiawan, Perak bermula 15 April ini seperti yang dijadualkan.
Beliau memberitahu KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta kesemua kes positif telah menerima rawatan.
“Setakat ini, KKM telah melaksanakan 304 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 43 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“Justeru itu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, tersebut bermula 15 April seperti yang dijadualkan,”katanya.
Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 73 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 64 individu dikompaun manakala sembilan orang pula direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (14), aktiviti pusat hiburan (13), tiada penjarakan fizikal (6), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (4) dan blain-lain (15),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 172, 587 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 74 hotel dan lapan institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Semalam, seramai 684 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Seramai 8,133 individu telah dikuarantin dan 163,085 orang dibenarkan pulang manakala 1,369 lagi dibawa ke hospital, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH