13 APRIL : Polis kini sedang mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes melarikan dua pekerja asing warga India di sebuah restoran di Brickfield hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar, dalam kejadian yang berlaku petang tadi itu, pengurus kedai makan terbabit didakwa didatangi oleh beberapa lelaki yang kemudiannya bertindak secara paksa menarik dua lelaki terbabit keluar dari premisnya.
“Dua lelaki yang dilarikan itu didakwa merupakan bekas pekerja sebuah restoran di Pandamaran, Klang.
“Siasatan polis mendapati individu terbabit menarik keluar dua lelaki warga India didakwa bekas pekerja sebuah restoran di Klang itu, yang telah melarikan diri susulan kegagalan majikan lamanya membayar gaji,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu dalam kenyataan kepada media hari ini.
Kata Anuar, salah seorang lelaki yang dilarikan itu pernah membuat laporan polis pada Sabtu lepas di Klang kerana mendakwa majikannya gagal membayar gajinya.
“Susulan daripada itu, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri dan menumpang di sebuah restoran di Brickfields,” katanya.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Hari ini, tular sebuah rakaman video kamera litar tertutup berdurasi 19 saat, memaparkan tindakan beberapa individu bertindak menarik keluar dua lelaki warga India secara paksa dari dalam sebuah restoran di ibu kota hari ini.