13 APRIL: Selepas enam hari, pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menamatkan penghujahan mereka, yang merujuk kepada soal mengapa bekas perdana menteri itu harus dibebaskan daripada hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas.
Mereka sepatutnya menamatkan hujah dalam rayuan berhubung kes SRC International Sdn Bhd itu pada hari Khamis lepas, namun telah memohon lanjutan bagi menamatkan penghujahan kes mereka.
Prosiding rayuan pada mulanya ditetapkan selama 12 hari bermula 5 April hingga 22 April, dengan masing-masing pembelaan dan pendakwaan diberikan tempoh empat hari untuk menyampaikan hujah mereka.
Kedua-dua pihak turut diberikan dua hari untuk mengemukakan hujah akhir masing-masing.
Sepanjang enam hari perbicaraan, sejumlah 20 bungkusan dokumen yang mengandungi 2,000 muka surat yang berkaitan dengan rayuan telah dikemukakan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.