13 APRIL: Seorang lelaki bertindak memecahkan barang rumah gara-gara berang tindakan isterinya yang dikatakan mengadu sikap suaminya itu kepada kakak iparnya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah pasangan terbabit di Bandar Parklands, Klang pada Ahad lalu.
“Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suami pengadu telah bertindak membuat bising sebelum berlaku pertengkaran mulut sesama mereka.
“Lelaki berusia lingkungan 20-an itu turut bertindak memecahkan barang komputer serta cawan sebelum isterinya menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Amar memberitahu susulan insiden tersebut, lelaki itu telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati motif kejadian berlaku kerana lelaki itu tidak berpuas hati dengan isterinya yang telah memaklumkan berkenaan sikapnya kepada kakak iparnya.
“Lelaki berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.