14 APR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap dengan pendirian mahu semua perkara atau tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noorberkata, pendirian sama turut dinyatakannya dalam Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dalam talian, semalam.
Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah berkata, perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung perkara itu masih sedang berjalan dengan kedua-dua pihak komited untuk mencari penyelesaian.
“Perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting kita telah pun memberi pandangan dan pendirian kita dan kerajaan persekutuan telah memberi respon yang positif.
“Kita juga harus ambil kira bahawa perdana menteri telah secara terbuka memberi komitmen dan jaminan untuk menilai dan berusaha mencari penyelesaian kepada semua tuntutan-tuntutan yang kerajaan negeri kemukakan,” katanya