14 APRIL : Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes baharu COVID-19 di Kelantan yang mencatatkan 226 kes hari ini, manakala bilangan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di seluruh negara ialah 204 kes termasuk 79 memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan 1,889 kes baharu positif hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dilaporkan di Malaysia ialah 365,829 kes termasuk 347,780 kes atau 95.1 peratus sudah sembuh dan 16,696 kes masih aktif.
Beliau berkata lapan kes kematian hari ini membabitkan tujuh warganegara dan satu warga asing sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 1,353 kes atau 0.37 peratus.
“Selangor kembali pada kedudukan pertama kes positif tertinggi hari ini dengan 517 kes direkodkan diikuti Sarawak sebanyak 489 kes.
“Saya juga ingin menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatkan kes positif di Kelantan dengan 226 kes dilaporkan hari ini diikuti Sabah sebanyak 142 kes manakala Perlis yang tiada kes baharu semalam kembali merekodkan dengan tiga kes.
“Kuala Lumpur merekodkan 134 kes, Johor (84), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (51), Perak (56) Kedah (53), Melaka (enam), Pahang, (13), Terengganu (14), Labuan (satu) dan Putrajaya (lapan),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 94 kes (5.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sri Aman (76 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (14 kes), dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (4 kes).
Beliau berkata terdapat lapan kes kematian pada hari ini yang melibatkan lima kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Sabah.
Katanya, KKM juga ingin memaklumkan terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan enam kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
Enam kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Batu Sepuluh dan Jalan Khidmat (Sabah), Kluster Jalan Mohd Taib (Selangor), Kluster Jalan Sempilai (Pulau Pinang), Permata Berangan (Kedah) dan Kluster Jalan Gapam (Melaka), manakala kluster komunti Jalan Sahadi di Selangor.
“Sehingga 14 April 2021, sejumlah 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 di Malaysia.
“Malah sehingga kini, analisis filogenetik serta hubungkait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama,” katanya.