14 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Kempen Pengurangan Kompaun sepanjang Ramadan ini bagi menawarkan diskaun pembayaran sehingga 50 peratus kepada orang ramai yang mempunyai kompaun dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata pelaksanaan kempen itu yang bermula semalam sehingga 12 Mei ini adalah inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan orang kena kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan bayaran, sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikannya.
“Jenis kompaun layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983; Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005; Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005; Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007.
“Selain itu, Undang-Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007; Undang-Undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007; Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pasar (MBSA) 2007,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrin berkata, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.
Katanya, bagi menggalakkan dan memudahkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.
Pembayaran kompaun juga, katanya, boleh dibuat di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.
“Orang ramai dinasihatkan mengambil peluang ini bagi menjelaskan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas diambil, termasuk sekatan urus niaga di kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah.
“Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my,” katanya.