14 APRIL : Polis siasat rakaman video memaparkan perbuatan seorang lelaki mendera dua anaknya yang masih kecil dengan memijak sambil mengacukan pisau dan mengugut untuk membunuh mereka yang tular di media sosial, sejak Selasa lalu.
Berdasarkan video dan gambar yang dimuat naik di laman Facebook OrangKunak, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat menangis kesakitan dan ketakutan, malah suspek dipercayai turut merakam perbuatannya itu sendiri.
Kejadian itu dikatakan berlaku di Ulu Balung, Tawau, baru baru ini.
Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah rumah tangga dan baru bercerai dengan isterinya, melarikan kanak-kanak dianggarkan berusia antara dua hingga empat tahun itu daripada wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Sejurus menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota dihantar ke lokasi kejadian namun suspek sudah tiada di premis tersebut. Dia kini dipercayai bersembunyi dengan membawa dua anaknya itu,” katanya.
Belau berkata, polis sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada polis dengan segera.