14 APRIL : Polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun kerana disyaki melakukan ugutan jenayah dengan pistol dan merotan dua pekerjanya susulan tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal peribadinya berpuasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kejadian bermula apabila pengadu dan seorang rakannya didatangi majikannya yang bertanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Mohamad Zainal berkata selepas pengadu dan rakannya memaklumkan mereka berpuasa, majikannya bertindak memarahi dan menampar pengadu di kepala, sebelum mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang Selangor.
“Apabila sampai di rumah suspek, pengadu dan rakannya telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan dan diacukan dengan pistol ke arah pengadu.
“Pengadu dan rakannya mengalami lebam di bahagian belakang badan kemudiannya mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, sebelum membuat laporan polis di Balai Klang,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata siasatan awal polis mendapati pengadu dan rakan sekerjanya bekerja di bawah sebuah syarikat kawalan keselamatan sebagai pengawal peribadi.
Beliau berkata siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan, suspek tidak suka pengadu dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan ini dan memaksa untuk tidak berpuasa.
“Apabila pengadu enggan dengan arahan tersebut, suspek tidak puas hati dan telah tampar sebanyak sekali di kepala semasa berada di Jalan Pinang Kuala Lumpur.
“Pekerja suspek telah memukul pengadu dan rakannya semasa berada di rumah suspek di Batu Nilam Klang, Selangor dengan menggunakan sebatang rotan sehingga menyebabkan pengadu mendapat kecederaan lebam dan mengalami pembekuan darah.
“Suspek semasa berada dirumahnya telah merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal peribadinya dan telah mengacukan ke arah pengadu sambil membuat ugutan bunuh,” katanya.
Berikutan itu, Mohamad Zainal berkata polis sudah membuka kertas siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan melakukan ugutan jenayah terhadap pengawal peribadinya.
Beliau turut mengingatkan, kes ini juga tidak melibatkan sebarang isu perkauman justeru masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan sebarang perkara provokasi yang menyentuh sensitiviti kaum. – Oleh HAIKA KHAZI