15 APRIL : Kes harian positif COVID-19 hari ini iaitu 2,148 kes adalah tertinggi sejak sebulan lalu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif 367,977 kes dikesan di Malaysia sehingga kini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 512 kes (23.8 peratus).
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak 420 kes (82.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 459 kes (21.4 peratus) dan Kelantan sebanyak 221 kes (10.3 peratus).
“Sebanyak 57 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas (45 kes) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (12 kes),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata terdapat 10 kes kematian pada hari ini yang melibatkan masing-masing tiga kes di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Sarawak, dan masing-masing satu kes di Johor dan Sabah.
“Sebanyak sembilan kes melibatkan warganegara dan satu (1) kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM juga ingin memaklumkan terdapat 15 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan sembilan kluster tempat kerja dan enam kluster komuniti.
Beliau berkata Kelantan merekodkan lima kluster baharu termasuk Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kluster Kampung Dominic, Kluster Kampung Labour, Kluster Kok Lanas dan Kluster Kampung Bechah Semak.
“KKM mengesan empat kluster baharu di Sabah hari ini membabitkan Kluster Megan Jaya, Jalan Labuk Tiga, Biah Skim dan Melangkap Tomis, manakala dua kluster di Selangor iaitu Jaya Setia, Perabot Olak Lempit.
“Empat kluster lagi masing-masing satu dikesan di Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Prev Post