15 APRIL: Empat suspek yang disyaki terbabit memukul dua pengawal keselamatan peribadi menggunakan rotan kerana berpuasa pada Selasa lalu, direman lima hingga tujuh hari, bermula hari ini.
Kesemua suspek itu terdiri daripada tiga pekerja kepada majikan pengawal keselamatan berkenaan, manakala seorang adalah pengawal peribadi yang berumur 38 sehingga 46 tahun.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Solehah Noratikah Ismail di Mahkamah Majistret Klang selepas membenarkan permohonan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, keempat-empat suspek itu ditahan bermula pukul 9 malam di sekitar Klang, Selangor.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324, Seksyen 506 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada Selasa, dua pengawal keselamatan mendakwa majikan mereka yang bukan beragama Islam memarahi, menampar, memukul dan mengacukan pistol kepada mereka.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa diperlakukan begitu apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka melaksanakan ibadah terbabit atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.