15 APRIL : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang akan datang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, bagaimanapun, sebarang calon yang bertanding pada PRN Sarawak ke-12 akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN)
“Kita sokong kerajaan GPS di Sarawak, tapi dari segi calon untuk PRN negeri itu kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi (PN),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Kuala Langat, Banting, hari ini.
Terdahulu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan calon yang akan bertanding dalam PRN Sarawak hanya terdiri daripada pemimpin komponen GPS.
Abdul Karim menjelaskan, GPS sudah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Menjawab kenyataan itu, Zuraida berpendapat mana-mana parti dalam PN mempunyai peluang untuk meletakkan calon di PRN Sarawak.
“Apa yang saya cuba sampaikan, kami datang dari BERSATU dan apa-apa parti pun ada peluang untuk bertanding, itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Zuraida yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan tiada perkembangan mengenai proses tuntutan saman RM10 juta PKR terhadap beliau.
Zuraida berkata, pihaknya telah menfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu untuk kali kedua dengan alasan tuntutan itu bertentangan dengan undang-undang.
“Kita telah hantar afidavit di peringkat kita dan mereka telah berikan balasan, dan kita hantar lagi sekali afidavit dan kami masih tunggu respon.
“Setakat ini mereka hanya saman saya seorang, yang lain tidak dibuat lagi. Mereka cuma buat uji kaji kepada saya sahaja,” katanya.
PKR pada 28 September lalu memfailkan saman RM10 juta di Mahkamah Kuala Lumpur terhadap Ahli Parlimen Ampang itu berikutan tindakannya melompat parti.
Parti itu menfailkan tuntutan tersebut selepas Zuraida tidak memberi sebarang jawapan selepas surat tuntutan dikirimkan kepadanya pada 7 Ogos tahun lalu.