15 APRIL: Semua badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di negara ini, diminta bersatu padu demi kepentingan generasi akan datang.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, berkata semua pemimpin NGO itu perlu berbincang dan menyelesaikan isu berbangkit, termasuk perkara membabitkan bahasa serta agama Hindu.
“Kita (kaum India) hanya ada dua juta populasi di Malaysia. NGO perlu memikirkan perpaduan masyarakat India dan elakkan bertikam lidah,” katanya kepada media selepas menghadiri program Tamil Puthandu Kondatam di Dewan Kalamandabam di Kuala Lumpur, malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu beberapa NGO India yang membahaskan sama ada bulan Thai atau Chittrai mengikut Kalendar Tamil yang seharusnya disambut sebagai Tahun Baharu Tamil.
Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berjanji, akan mewujudkan satu platform supaya semua pihak dapat berbincang dan membuat keputusan bernas dalam isu berkenaan.