15 APRIL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tidak akan campur tangan terhadap sebarang perlakuan atau kes rasuah.
Beliau berkata, jaminan itu, termasuk membabitkan sebarang perlakuan rasuah, dilakukan sama ada pemimpin-pemimpin politik atau pegawai kerajaan.
“Teruskan sahaja siasatan, Perdana Menteri tidak ada masalah dan tidak mahu campur tangan, apa-apa tohmahan pun membabitkan ahli kabinet, beliau kata teruskan,” katanya pada wawancara bersama Alhijrah semalam.
Ketika ditanya apakah terdapat campur tangan politik sepanjang kariernya sebagai pegawai SPRM, Azam berkata, ada menteri kabinet dan ahli politik bertanya mengenai kes rasuah yang sedang disiasat, namun tidak sampai ke tahap campur tangan.
“Sejak jadi ketua SPRM, tak ada campur tangan.Tak logik saya kata langsung tak ada bertanya, saya pun biasa bercampur dengan pihak menteri atau ahli politik lain, mereka bertanya.
“Tapi saya beri jaminan di sini, setakat sekadar bertanya tapi tidak akan mempengaruhi keputusan kami dalam menjalankan penyiasatan.
“Kes tetap kami siasat dan terpulang kepada AG (peguam negara) sama ada nak tuduh atau tidak,” katanya.
Azam berkata tindakan SPRM menyiasat kartel monopoli tender kerajaan di mana puluhan individu ditahan membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam siasatan rasuah.
Pada masa sama, beliau meminta pihak yang mempersoalkan terdapat campur tangan atau desakan dalam kes dikendalikan SPRM supaya mengemukakan bukti.
Katanya, kerajaan sememangnya tidak campur tangan dalam kes SPRM, malah ini akan terus terbukti apabila masih ada banyak kes yang bakal ditimbulkan suruhanjaya itu.
“Kes dibicarakan sekarang ini, jika ada kes ditarik balik semuanya ada sebab, tetapi secara dasarnya semua kes masih berjalan seperti biasa, justeru mungkin masyarakat pun kena adil dengan SPRM.
“Ada kes profil tinggi yang keputusan memihak kepada pendakwaan, tetapi masa disabitkan tidak ramai cakap, apabila mungkin satu dua kes babitkan pertuduhan ditarik balik, itu diperkatakan,” katanya.