15 APRIL : Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meluahkan rasa kecewa dengan tahap pematuhan standard operasi prosedur (SOP) di tapak bazar Ramadan di seluruh negeri tersebut.
Rasa kecewa beliau itu diluahkan menerusi hantaran terkini di laman Facebook rasminya setelah mendapati sebahagian besar peniaga dan pengunjung bazar Ramadan tidak mematuhi SOP.
“Adik, kakak, saudara, saudari yang berniaga dan yang mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negeri Kedah, dimohon mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negeri).
“Sebarang kecuaian dan kealpaan kita terhadap SOP boleh mencetuskan kluster baharu COVID-19, seterusnya akan membawa kepada penutupan semua bazar Ramadan yang menjadi sumber rezeki saudara mara kita sepanjang Ramadan ini,” ujarnya.
Kekecewaan Menteri Besar Kedah itu berasas apabila tular di laman sosial gambar-gambar di bazar Ramadan di beberapa negeri termasuk Kedah, yang menunjukkan pengunjung serta peniaga gagal mematuhi SOP ditetapkan.
Menerusi kenyataan di Facebooknya juga, beliau mengingatkan sekali lagi agar semua pihak yang mengunjungi bazar Ramadan termasuk para peniaga supaya memastikan setiap SOP yang ditetapkan dipatuhi bagi mengekang penularan COVID-19.