15 APRIL : Tindakan Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee ‘memarahi’ peniaga di Pasar Ramadan Peringgit, Melaka dilakukan agar mereka patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Norhizam berkata beliau bertengkar dengan peniaga tersebut kerana tidak mahu bazar Ramadan ditutup kerajaan negeri sekali gus menyebabkan peniaga di kawasan tersebut mengalami kerugian.
“Saya telah mengunjungi bazar Ramadan berkenaan kira-kira jam 6 petang semalam untuk melihat SOP yang dilaksanakan penganjur di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung bazar berkenaan, yang minta supaya kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka di pasar Ramadan berkenaan.
“Tindakan tersebut sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibuka,” katanya kepada media, hari ini.
Mengulas lanjut, Norhizam memberitahu beliau sememangnya tidak akur dengan kehendak segelintir peniaga terbabit kerana sedar jika dituruti, ia akan mengundang masalah yang lebih besar.
“Pasar Ramadan berkenaan menggunakan sistem kupon di mana kita boleh mengehadkan jumlah pengunjung, namun jika dibuka dua jalan masuk akan menyebabkan keadaan tersebut tidak dapat dipantau dengan rapi dan menyebabkan keadaan luar kawalan.
“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan,” katanya.
Tambah beliau, sebahagian besar peniaga lain serta pengunjung juga faham dengan SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha bersama mencegah penularan wabak COVID-19 yang masih berlaku ketika ini.
“Kerajaan negeri terpaksa mengetatkan SOP demi memastikan tiada kejadian tidak diingini khususnya penularan COVID-19 dan untuk melindungi kepentingan peniaga sendiri juga,” katanya.
Terdahulu, video yang berdurasi 3 minit 99 saat itu memaparkan Norhizam seperti ‘menengking’ peniaga tersebut selepas memberi cadangan tersebut kepada beliau yang mampu memberi situasi tidak terkawal jika dilaksanakan.
Walaupun Norhizam dilihat seperti bertindak kasar terhadap peniaga namun menjengah ke ruangan komen, rata-rata bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh exco berkenaan.