Zii Jia terima suntikan dos pertama vaksin COVID-19
15 APRIL: Selepas lebih seminggu perancangan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 tertangguh kerana demam, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menerima suntikan dos pertama imunisasi terbabit di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.
Pengambilan suntikan itu dimaklumkan pemain terbabit menerusi muat naik di Facebook rasminya dan disahkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.
“Beliau sudah menerima vaksin pagi tadi. Zii Jia sudah pulih daripada demam dan sudah memulakan latihan seperti biasa,” kata Choong Hann menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.
Juara All England 2021 itu sepatutnya menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech bersama kumpulan pertama seramai 264 atlet dan pegawai yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo pada Selasa lepas.
Namun, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, pemain berusia 23 tahun berkenaan tidak dapat hadir pada tarikh awal ditetapkan itu kerana mengalami demam sejak dua hari sebelumnya, berkemungkinan akibat keletihan.
Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguh selama setahun akibat pandemik terbabit dijadual semula dari 23 Julai sehingga 8 Ogos, manakala Sukan Paralimpik bermula 24 Ogos sehingga 5 September ini.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN