16 APRIL: Polis menolak dakwaan pihak tertentu bahawa kematian seorang anggotanya daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kajang meninggal dunia akibat komplikasi selepas menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, maklumat yang tular berkenaan tidak benar kerana polis masih menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Kajang.
“Maklumat yang tular pada hari ini di laman media sosial Facebook dan melalui aplikasi WhatsApp kononnya akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin covid-19 adalah tidak benar sama sekali.
“Pihak kami sedang menyiasat berita paslu ini dan saya menyarankan kepada semua di luar sana agar idak membuat spekulasi yang tidak benar berkenaan maklumat ini yang boleh meresahkan orang ramai di luar sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai maklumat tular di media sosial yang mendakwa seorang anggota polis berpangkat koperal dari BSPTD Ibu Pejabat Polis Kajang berusia 42 tahun dikatakan meninggal dunia di wad Hospital Kajang, kira-kira jam 4.40 pagi tadi selepas mengadu sesak nafas.
Menurut mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kajang selepas mengadu sukar untuk bernafas dan menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 pada 14 April lalu.