15 APRIL: Polis Kelantan meminta orang ramai menggunakan surat kebenaran rentas negeri atau daerah baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh kawasan di negeri itu yang bermula hari ini hingga 29 April.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, berkata hasil tinjauan beliau di sekatan jalan raya mendapati masih ada pihak menggunakan surat rentas negeri atau daerah lama, malah yang digunakan semasa PKP Januari lepas.
“Sekiranya degil, mereka boleh diambil tindakan seperti dikenakan kompaun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bahru, Kelantan, hari ini.
Shafien berkata, 500 anggota dan sukarelawan polis mengadakan 17 sekatan jalan raya selama dua minggu dalam tempoh PKP.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tujuh kawasan dikenakan PKP itu adalah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.