16 APRIL: Siasatan polis ke atas lelaki yang menampar dan memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa, hampir lengkap.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata selepas siasatan lengkap, pihaknya akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya suspek dituduh di mahkamah.
“Kita akan cadangkan pertuduhan ke atas suspek utama ini yang tempoh tahanan remannya akan tamat esok.
“Sebaik tempoh tahanan remannya di sini tamat, suspek akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang untuk siasatan kes di sana pula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan yang lengkap akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.
Semalam, Mohamad Zainal berkata, suspek yang berusia 43 tahun direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek yang juga ahli perniagaan ditahan di Klang, Selangor kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin susulan laporan polis dibuat mangsa.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pada Selasa, dua pengawal keselamatan mendakwa majikan mereka yang bukan beragama Islam memarahi, menampar, memukul dan mengacukan pistol kepada mereka.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa diperlakukan begitu apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka melaksanakan ibadah terbabit atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.