16 APRIL : Polis Indonesia menahan dua lelaki negara tersebut kerana disyaki terbabit dengan penipuan antarabangsa yang membabitkan wang bernilai AS$60 juta program bantuan COVID-19 untuk warga Amerika Syarikat (AS) yang kehilangan kerja.
Kedua-dua suspek ditangkap bulan lalu di Surabaya, kota kedua terbesar di Indonesia, selepas polis dimaklumkan oleh pihak berkuasa AS.
Jika disabitkan kesalahan, kedua-duanya boleh dipenjara hingga sembilan tahun di bawah undang-undang maklumat elektronik Indonesia.
Pihak berkuasa mendedahkan, modus operandi dua lelaki tersebut ialah dengan menghantar mesej kepada 20 juta warga AS yang membawa mereka ke laman palsu kerajaan AS.
Melalui laman palsu tersebut yang kononnya menawarkan bantuan AS$2,000 (RM8,254) kepada mereka yang hilang pekerjaan, ribuan warga AS telah mendedahkan maklumat peribadi mereka termasuk nombor keselamatan sosial.
Namun, menurut ketua polis Jawa Timur, Nico Afinta data mereka digunakan oleh penipu untuk mencuri berjuta-juta dolar dari program ini.
“Kira-kira 30,000 warga AS ditipu dan kerugian kewangan kerajaan mencapai AS$60 juta (RMRM247.62 juta) ,” kata ketua polis Jawa Timur, Nico Afinta.
Polis menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat kemungkinan pembabitan orang ketiga yang mungkin memperoleh dana secara haram.