15 APRIL: Malaysia dan Jepun memperkukuhkan komitmen masing-masing bagi meningkatkan lagi hubungan kerjasama pertahanan antara dua-dua negara.
Kenyataan Kementerian Pertahanan, hari ini memaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Nobuo Kishian berkongsi komitmen itu ketika mengadakan sidang video, semalam.
“Kedua-dua menteri pertahanan itu bersetuju untuk memelihara hubungan erat pada semua peringkat dan mengalakkan penerusan semula secara akrif ketelibatan antara kedua-dua pihak.
“Ini termasuk pertemuan dua hala antara kedua-dua kementerian, pertukaran latihan pasukan bersenjata dan kerjasama dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).
“Semasa panggilan ini juga, kedua-dua menteri menerokai potensi bidang kerjasama dalam industri pertahanan,” kata kenyataan itu.
Ismail Sabri dan Nobuo juga, katanya, menyentuh mengenai isu-isu keselamatan serantau yang menjadi kepentingan dan keprihatinan.
Kedua-dua negara, katanya, menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai hubungan kerjasama pertahanan dan pertukaran pada September 2018.
Malah, Malaysia dan Jepun menandatangani perjanjian antara kedua-dua berhubung Pemindahan Peralatan dan Teknologi Pertahanan pada tahun sama.
“Berdasarkan asas hubungan ini, Malaysia akan terus menggalakkan pertukaran dan kerjasama pertahanan dengan Jepun,” katanya.