16 APRIL : UMNO Perak tidak menolak kemungkinan berunding dengan PAS berhubung agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia bergantung kepada kesepakatan rundingan antara PAS dan BERSATU.
Menteri Besar Perak itu berkata, setakat ini UMNO belum berbincang dengan mana-mana parti termasuk PAS dalam menentukan kerusi bakal ditandingi.
“Di Perak, kita belum ada perbincangan soal kerusi. Memang tak ada, tidak pernah ada. Akan ada atau tidak (rundingan dengan PAS), itu ikut keperluan.
“Kalau kata PAS sudah berbincang dengan BERSATU untuk agih kerusi, apa lagi keperluan untuk berbincang dengan UMNO,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Program Seronok Beraya Peringkat Negeri Perak di Dewan Kompleks Komuniti Desa KEMAS Lenggong, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Saarani mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang keputusan PAS menangguhkan perbincangan pengagihan kerusi PRU-15 dengan UMNO walaupun kerjasama PAS dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) diteruskan.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, beliau meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak bersikap kreatif dan inovatif bagi mengawal kesesakan pengunjung di bazar Ramadan bagi membendung penularan COVID-19 dan mencetuskan kluster baharu.
Menyentuh mengenai Program Seronok Beraya, Saarani berkata, sebanyak RM465,000 diperuntukkan bagi tujuan itu membabitkan pemberian khas bantuan hari raya berjumlah RM150 kepada 3,100 penerima seluruh Perak terdiri daripada kalangan asnaf, anak yatim serta keluarga B40.