8 kluster baharu, 3 babitkan sekolah, institusi pendidikan
17 APRIL: Lapan kluster baharu COVID-19 dengan tiga daripadanya membabitkan sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), dikesan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata tiga kluster baharu membabitkan sekolah dan institusi KPM itu adalah di Ulu Balingian dan Jalan Disa di Sarawak serta Jalan Maktab, Selangor.
Empat kluster baharu itu, katanya, terdiri daripada tempat kerja, iaitu di Jalan Wawasan Lima, Johor dan Jalan Ding Lik Kwong, Sarawak, selain masing-masing di Jalan Damai Tawau serta Bukit Quoin, Sabah.
“Satu lagi kluster membabitkan Komuniti dikesan di Seri Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, tujuh kluster ditamatkan hari ini, iaitu di Pulau Pisang, Bukit Marak, Dagang Permai, Perusahaan Jalan Bukit, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Rawang dan Teratai.
Setakat ini, katanya, sebanyak 1,515 kluster dilaporkan di Malaysia, membabitkan 1,168 kluster sudah tamat dan 347 kluster aktif.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes pesakit COVID-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini berjumlah 225.
Sebanyak 92 daripada pesakit itu, katanya, memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Kes kematian hari ini adalah lima kes yang kesemuanya adalah warganegara,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN