17 APRIL: Tujuh rumah daif warga emas di Labuan, Sabah akan dibaik pulih secepat mungkin menerusi dana Peruntukan Khas Perdana Menteri.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Labuan (BERSATU), Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata baik pulih keseluruhan rumah yang terletak di Kampung Patau-Patau 2, Kampung Belukut, Kampung Lubok Temiang, Sungai Lada dan Rancha-Rancha itu membabitkan kos RM140,000 dengan masing-masing RM20,000 bagi setiap buah.
“Penghuni rumah ini pernah menerima bantuan perumahan daripada kerajaan pada 2008, namun selepas itu tidak lagi mendapat sebarang bantuan.
“Kesemua rumah ini yang dalam keadaan amat daif dan boleh menyembah bumi pada bila-bila masa, didiami warga emas sedang menjalani rawatan perubatan serta memerlukan bantuan tambahan,” katanya kepada media ketika meninjau sebuah rumah yang akan menerima baik pulih itu untuk menyampaikan bantuan di Labuan, hari ini.
Suhaili berkata, kerja pembaikan akan dijalankan dalam masa terdekat dan disiapkan sebelum sambutan Aidilfitri pada pertengahan bulan depan.
Beliau turut merayu pusat pungutan zakat agar turun padang dan melawat warga emas berkenaan bagi menyalurkan bantuan.
Sementara itu, Suhaili berkata, tiga peniaga ikan, masing-masing di Kampung Sungai Miri, Tanjung Aru Nelayan serta Sungai Buton menerima bantuan daripada Peruntukan Khas Perdana Menteri berkenaan bagi menggantikan gerai sedia ada dengan gerai konkrit.