17 APRIL : Polis menahan lima lelaki yang dipercayai memukul seorang pelajar tingkatan dua di hadapan sebuah sekolah di kawasan Taman Daya, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, penahanan itu melibatkan lima remaja lelaki berumur antara 15 hingga 17 tahun.
Menurut beliau, ia susulan laporan yang dibuat mangsa pada 8 April lalu pada jam 10.45 malam di Balai Polis Setia Indah.
“Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa memaklumkan telah dipukul lima lelaki yang tidak dikenali semasa sedang berbual dengan rakannya di hadapan sebuah sekolah.
“Kejadian dipercayai berlaku ekoran rasa tidak puas hati, kerana suspek beranggapan bahawa mangsa telah mengejek adik saudaranya.
“Suspek bersama empat rakannya telah bertindak menyerang dan memukul pengadu beberapa kali pada bahagian muka,” katanya menerusi satu kenyataan lewat malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd Padzli menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, berdasarkan video 53 saat itu menunjukkan mangsa dipercayai dikepung dan ditampar kerana mempersendakan seorang individu yang digelar “Abang Vadai”.
Berdasarkan video berkenaan, seorang lelaki memakai baju merah dan bercermin mata didapati menghampiri pelajar lelaki beruniform sekolah sebelum menampar muka mangsa berulang kali.
Sementara itu, kes berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang mahukan pembelaan pihak polis untuk pelajar yang dipukul gara-gara “Abang Vadai.” – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH