17 APRIL : Apa sahaja program dan acara kerajaan Sarawak, termasuk membabitkan Ketua Menterinya, ditangguhkan selama dua minggu, bermula hari ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, berkata mesyuarat fizikal turut tidak dibenarkan dalam tempoh berkenaan dan hanya boleh diadakan secara maya.
“Perjalanan keluar daerah tidak dibenarkan, kecuali terdapat keperluan mendesak dan mendapat kelulusan ketua jabatan,”katanya dalam satu kenyataan berhubung larangan pergerakan dan mesyuarat fizikal bagi perkhidmatan awam Sarawak dikeluarkan kerajaannya.
Jaul berkata, larangan itu dikeluarkan susulan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis lalu akibat peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sarawak.
Semalam, Sarawak mencatatkan jumlah positif tertinggi harian sebanyak 960 kes manakala jangkitan dilaporkan berlaku di 27 daerah, termasuk empat daerah, iaitu Kuching, Bintulu, Miri dan Mukah menunjukkan kes tiga angka.