17 APRIL: Kes COVID-19 di negara ini kekal mencatatkan angka melebihi 2,000 kes sejak Khamis lalu, apabila merekodkan sebanyak 2,331 kes, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata laporan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik terbabit sebanyak 372,859 di negara ini.
Katanya, Selangor mencatatkan jumlah kes baharu paling tinggi, iaitu 751 kes, diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (252).
“Kelantan turut mencatatkan kes baharu tiga angka dengan 225 kes, manakala Sabah (163), Pulau Pinang (116) dan Johor (100).
“Negeri Sembilan pula mencatatkan 89 kes baharu, Kedah (45), Perak (42) dan Pahang 20.
“Empat negeri mencatatkan kes baharu hanya satu angka, iaitu Melaka dengan sembilan, Putrajaya (4), Labuan (2) dan Perlis, manakala Terengganu tidak mencatatkan kes baharu” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN