17 APRIL : Tiada cadangan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menutup sekolah-sekolah di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pengoperasian sekolah pada masa ini didapati tidak berdepan sebarang masalah kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kenyataan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini cukup jelas menyatakan perihal SOP pengoperasian sekolah.
“Kalau semua pihak mengamati, melaksanakan dan mengikuti SOP yang sudah ditetapkan dengan secara sebaik-baiknya, maka saya percaya pengoperasian sekolah tidak akan menghadapi masalah yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penyerahan sumbangan lukisan karya Master Cheng Shaoru’s di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, Ipoh, hari ini.
Dalam pada itu, Hang Soon memberitahu kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pelajar, namun penutupan kembali sekolah selepas hampir setahun tidak beroperasi boleh memberi kesan kepada pembelajaran.
Menurut beliau, dalam kebanyakan kes Covid-19 membabitkan guru atau pelajar, jangkitan berlaku dari luar dan bukan dalam kawasan sekolah.
“Dari segi pembelajaran bahasa mungkin masih boleh lagi ‘catch up’ lagi, tetapi subjek tertentu seperti Matematik dan Sains, jika tidak belajar mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran subjek seterusnya yang berkaitan
“Jadi dari segi risiko, sebaran atau merebaknya risiko jangkitan antara murid tidak tinggi berbanding di bazar, pasar raya dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP selama dua minggu di tujuh daerah di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan 30.5 peratus di negeri itu dalam tempoh 14 hari.