17 APRIL : Penularan video di laman sosial yang mengajak umat Islam berjudi pada Ramadan bagi memenuhi keperluan kewangan menjelang sambutan Aidilfitri ini jelas satu cubaan untuk menormalkan wasilah yang bercanggah dengan tuntutan syarak dalam ikhtiar mendapatkan keuntungan.
Justeru, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, sebarang bentuk perbuatan yang menjurus kepada pertaruhan atau perjudian adalah haram mengikut ajaran Islam.
Menurut beliau, matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan seperti perjudian, tambahan pula umat Islam di Malaysia dilarang terbabit aktiviti perjudian seperti diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Isu penyiaran klip video ini secara tidak langsung membangkitkan sensitiviti dalam kalangan umat Islam dan pada masa sama, ia turut mencemarkan kemuliaan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.
“Sepatutnya, semua pihak di negara ini perlu sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Selain itu, semua yang terbabit dengan penyiaran klip video itu perlu segera bertaubat, memohon keampunan Allah SWT dan tidak mengulanginya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, belum pun reda isu penularan iklan hari raya mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian membabitkan pelakon beragama Islam, semalam, satu lagi klip video mengetengahkan konsep sama muncul di media sosial, hari ini.
PN BBC Portal melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah mengarahkan pegawainya untuk mengesan sekiranya wujud klip video lain mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian, berkonsepkan iklan hari raya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya sudah mengambil maklum mengenai kemunculan iklan seumpama itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Acryl Sani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kemunculan klip video terbabit adalah trend terbaharu digunakan sindiket bagi mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian.
Sementara itu, Luqman memberitahu Allah SWT berfirman dalam al-Quran pada ayat 90 surah Al-Baqarah, bahawa aktiviti seperti berjudi, bertaruh nasib, meminum arak dan memuja berhala antara bentuk perbuatan syaitan yang wajib dijauhi.
“Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadis bahawa perkara yang halal dan haram itu jelas dan antara kedua itu perkara yang samar-samar (musytabihat) yang tidak diketahui kebanyakan orang.
“Susulan itu, saya menasihati umat Islam di negara ini menjauhi sebarang bentuk perbuatan boleh mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH