18 APRIL : Kes COVID-19 di negara ini melepasi paras 2,000 untuk empat hari berturut-turut apabila mencatatkan kes baharu sebanyak 2,195 kes hari ini.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini setakat tengah hari tadi 372,859 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu itu membabitkan 2,185 kes tempatan dan 10 kes import.
“Sarawak hari ini mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 508 kes namun lebih rendah berbanding semalam iaitu 512 kes. Ini diikuti Selangor sebanyak 431 dan Johor 387 kes.
“Kuala Lumpur mencatatkan kes baharu sebanyak 176 kes, Sabah (112), Pulau Pinang (84), Negeri Sembilan (42), Perak (35), Kedah (30), Terengganu (16), Pahang (15), Melaka (15), Labuan (6), Putrajaya (3) dan tiga kes di Perlis,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Keadaan di Kelantan dilihat semakin memburuk dengan kes baharu di negeri itu merupakan jumlah kes baharu tertinggi yang dicatatkan setakat ini manakala kes baharu di Johor merupakan yang tertinggi sejak 5 Mac lalu.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1,427 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 353, 822 atau 94. 34 peratus daripada keseluruhan kes.
Namun, apa yang menyedihkan, beliau berkata, kes kematian baharu mencatakan peningkatan di mana lapas kes dilaporkan hari ini berbanding semalam lima kes.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 kini 1,378 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 219 orang termasuk dan 90 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 19,854 atau bersamaan 5.29 peratus,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH