18 APRIL: Majikan yang terbabit dengan kes memukul dan mengugut dua pengawal peribadi, Rabu lalu kini disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ahli perniagaan lelaki berusia 43 tahun berkenaan kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes terbabit
Beliau berkata perintah tahanan reman dilakukan berkaitan kes memukul pengawal keselamatan dan siasatan juga dilakukan dibawah AMLATFPUAA yang dijalankan oleh Bukit Aman.
“Saya juga difahamkan polis memang dalam proses untuk menyita harta dan sebagainya.
“Bagaimanapun, siasatan setakat ini mendapati tiada penglibatan kongsi gelap terhadap suspek yang ditahan, namun siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.
Terdahulu, suspek direman tiga hari oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan disiasat di bawah Seksyen 324, Seksyen 298 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini media melaporkan penahan empat suspek berhubung insiden dua pengawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa semalam membongkar sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long serta judi haram kumpulan itu.
Arjunaidi, berkata dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah seorang suspek polis menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang Dollar Amerika Syarikat (AS) serta 100 jongkong emas seberat 1 kilogram setiap satu dengan jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa.