18 APRIL : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan memberi layanan istimewa terhadap suspek kes pukul pengawal peribadi kerana berpuasa sehingga membolehkan lelaki berkenaan melakukan permohonan maaf di dalam balai polis seperti didakwa sesetengah pihak.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, insiden berlaku secara kebetulan semasa suspek hendak diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Ramai wartawan masih berada di IPD sejurus selesai sidang media Ketua Polis Daerah Dang Wangi berkaitan isu video raya yang mempromosi judi.
“Suspek yang diambil oleh anggota IPD Klang Selatan secara kebetulan melalui lobi dan wartawan mengambil gambar suspek sementara menunggu kenderaan IPD Klang Selatan sampai ke pekarangan lobi dan sepintas lalu suspek bercakap begitu saja,” katanya menerusi kenyataan kepada PN BBC Portal, hari ini.
Justeru itu, Mohamad Zainal menegaskan permohonan maaf yang dilakukan suspek itu bukan daripada sidang media seperti didakwa sesetengah pihak.
“Wartawan juga tidak bertanya apa-apa soalan kepada suspek sebaliknya dia dengan sendirinya bercakap memohon maaf dalam bahasa Cina dan dipetik oleh wartawan yang ada pada ketika itu.
“Justeru polis memohon pihak tertentu agar tidak mengambil kesempatan untuk memanipulasi isu berkenaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH