19 APRIL: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan yang selesai menerima dua dos suntikan vaksin pandemik itu adalah rendah, iaitu hanya 0.03 peratus.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata petugas barisan hadapan yang diberikan suntikan vaksin terbabit dan didapati positif jangkitan pandemik itu, cuma mengalami gejala ringan dan tidak teruk.
“Tindak balas sistem pertahanan tubuh susulan pengambilan vaksin itu, mencerminkan keberkesanannya dalam menangani risiko jangkitan, maut dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Selain itu, Khairy berkata, Kementerian Pendidikan (KPM), sedang mengumpulkan senarai guru swasta dan kerajaan yang bakal disenaraikan sebagai penerima PICK Fasa 2.
Katanya, selepas golongan pendidik itu dikenal pasti, mereka akan diberikan tarikh janji temu bagi mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.
Pemberian vaksin kepada golongan itu bagaimanapun, katanya, akan dilaksanakan bergantung kepada jumlah bekalan semasa vaksin terbabit kerana keutamaan kepada kumpulan sasaran seperti diumumkan sebelumnya, iaitu warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kumpulan rentan.
Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan memberi jaminan memasukkan petugas media sebagai penerima vaksin Fasa 2 selepas memperoleh tarikh bersesuaian dan bekalan mencukupi.
Buat masa ini, katanya, tarikh bersesuaian belum boleh dikenal pasti dan bekalan vaksin akan diutamakan untuk kumpulan sasaran awal ditetapkan.
Beliau berkata, jadual janji temu membabitkan penerima Fasa 2 daripada tiga kumpulan sasaran awal itu sudah penuh sepanjang April, justeru pihaknya akan melihat jika ada kekosongan ruang pada bulan seterusnya untuk mula menyenaraikan petugas media bagi tujuan imunisasi berkenaan.
“Tetapi apa boleh saya jaminkan kepada anda (petugas media), apabila kita sudah ada cukup bekalan vaksin Mei atau terutamanya Jun, kita boleh mula tawarkan kepada anda,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia memaklumkan, pihaknya sudah memohon supaya petugas media turut diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin COVID-19 pada Fasa 2 program itu, memandangkan golongan berkenaan adalah pekerja barisan hadapan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN